Monday 19 September 2011

Memberi maaf dan Menerima Maaf...



Dan tidaklah sama kesannya dan hukumnya perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah kejahatan yang ditunjukkan kepadamu dengan cara yang lebih baik, apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah sahabat karibmu.
(Surah Fushilaat : 34)
Islam menuntut umatnya menjadi seorang pemaaf
Seorang sahabat yang telah melakukan kesalahan telah mengatakan kepada sahabatnya,

“Aku memohon maaf kepadamu kerana kata-kata itu.”
Sahabatnya seraya berkata,

“Tidak mengapa ya saudaraku, aku memberi maaf apasahaja kesalahanmu, kerana hakikatnya manusia memang memerlukan kemaafan lantaran ketidaksempurnaannya. Tiada sebab untuk aku menahan kemaafan kepadamu.
Maka, sahabat yang tadi berkata pula,

“Terima kasih ya saudaraku, begitu jugalah aku memaafkan segala kesalahanmu terhadapku.”
Mulia Seorang Pemaaf
Rasulullah s.a.w bersabda :
Wahai Uqbah mahukah engkau aku beritahu akhlak bagi penghuni dunia dan penghuni akhirat yang paling mulia? (mereka) ialah ;
  1. Menyambung silaturrahim dengan orang yang memutuskannya
  2. Memberi kepada orang yang tidak mahu dan tidak pernah memberimu
  3. Memafkan orang yang pernah menzalimi dan menganiayaimu
Begitu indah dan tenangnya tatkala memberi kemaafan. Ketenangan itu akan menyusup masuk ke seluruh urat nadi sehingga ke hati orang yang beriman.  Meskipun, adakalanya, kemaafan sukar dilepaskan kerana luka dihati masih terkesan.   Tetapi ajaibnya, ketenangan akan serta merta hadir sebaik sahaja ucapan ‘‘kamu diberi maaf”.  Itulah hidayah Allah SWT.
Tetapi, janganlah melepaskan maaf dengan bersyarat atau memaafkan kesalahan sesorang ibarat menegakkan besi yang bengkok.  Bukankah apabila menegakkan besi yang bengkok, kesan bengkokan pada besi tetap ada?  Sebaliknya, berilah kemaafan ibarat menukar kain yang kotor kepada kain yang baru.

Can forgive, can’t forget - Istilah paling tepat untuk menghuraikan bidalan menegakkan besi yang bengkok.

Can forgive, let’s forget
 – Istilah yang paling sesuai untuk bidalan menggantikan kain yang kotor kepada kain yang baru.

‘Maaf’ Bukan Alasan Berlepas Diri.

Islam adalah agama yang mementingkan kesejahteraan dan kedamaian. Untuk mencapai tujuan tersebut, Islam memberi garis panduan kepada umatnya tentang adab dan etika ketika pergaulan, antaranya ialah, menjadi seorang pemaaf. Hal ini diabadikan di dalam Al Quran, sebagaimana firman Allah SWT :
Dalam pada itu ingatlah orang yang bersabar dan memaafkan kesalahan orang terhadapnya, sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.
(As Syuraa : 43)
Jadilah kamu pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan makruf serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh.
(Surah Al A’raf : 199)
Manusia pasti tidak boleh lari daripada kesilapan.
Itu adalah haqiqat.
Sesuai dengan fitrahnya yang tidak sempurna. Namun begitu, ‘maaf’ bukanlah alasan untuk berlepas diri daripada kesilapan. Sebaliknya, ‘maaf’ perlu dibawa bersama gagasan transformasi ke arah yang lebih baik. Tidak mengulangi dan menghindari daripada kesilapan yang sama. Jika ucapan ‘aku minta maaf’ tidak dihayati sebagai  batu sempadan bagi setiap kesilapan, maka, ia akan mewujudkan permohonan maaf yang tidak ikhlas sifatnya. Tiada keikhlasan menjadikan permohonan maaf itu bersifat kosong dan bukannya menjadi tarbiah bagi si pelaku salah. Kesannya, kesalahan atau kesilapan yang serupa akan dilakukan juga.
Kita perlu sedari bahawa, permohonan maaf bukanlah senjata tersembunyi untuk menutup kelemahan diri.  Sebaliknya ia perlu sebagai penghubung silaturrahim dan menjadi ibrah bagi menghadapi cabaran hidup yang akan kita lalui seterusnya. Ambilah contoh teladan sifat pemaaf Rasulullah s.a.w, bagaimana dengan hanya sifat lembut dan sifat pemaaf, baginda dapat menakluki seluruh pelusuk dunia sehingga Islam berkembang hingga kini.
Yahudi Hadiah Daging Beracun Kepada Baginda.
Dari Imam Abu Daud dari Jabir bin Abdullah, diriwayatkan bahawa seorang perempuan yahudi telah menghadiahkan Rasulullah S.a.w daging kambing yang sudah dimasak. Hadiah tersebut diterima oleh Rasulullah tanpa menyedari daging kambing tersebut telah diracuni. Namun sebaik sahaja baginda mengunyahnya untuk memakan daging tersebut, baginda terus memuntahkannya kerana baginda mengetahui bahawa daging tersebut mengandungi racun. Walaupun perbuatan perempuan yahudi itu membahayakan baginda, tetapi baginda tidaklah menjatuhkan hukuman kepadanya, sebaliknya memberi kemaafan kepadanya.
Hubar bin Al-Aswad Memanah Unta Milik Puteri Rasulullah s.a.w
Hubar bin Al Aswad
Seorang yang amat memusuhi Islam dan banyak menyakiti hati kaum muslimin dan pernah menyakiti puteri Rasulullah S.a.w, Zainab r.a.
Kisah ini terjadi apabila unta yang dinaiki oleh Zainab r.a dalam perjalanan ke Madinah dipanah oleh Hubar sehingga menyebabkan unta itu jatuh lalu mati.  Diriwayatkan pada ketika itu, Zainab r.a pada sedang sarat mengandung.  Dia terhumban dari atas unta menyebabkan kandungannya gugur. Namun setelah peristiwa pembukaan Mekah, Hubar menemui Rasulullah S.a.w untuk memohon maaf daripada baginda dan baginda memaafkannya. Hubar kemudiannya melafazkan syahadah dan menjadi penganut Islam.
MasyaAllah, betapa agungnya peribadi baginda. Maka, siapa lagi role model yang perlu kita jadikan ikutan? Sudah tentu baginda!  Semoga, kita menjadi seorang yang pemaaf.
Seseorang yang mulia ialah, apabila memberi kemaafan kepada saudaranya yang berbuat kesalahan kepadanya.
Seseorang itu lagi mulia, apabila memberi kemaafan dan meredhai (melupakan kesalahan)  saudaranya.
Sesorang itu tersangatlah mulia jika memberi kemaafan, meredhai saudaranya dan memperbaiki kekurangan yang ada pada dirinya sendiri.
Wallahu’alam







No comments:

Post a Comment