Bila baju melayu bertemu baju kurung. Hati bergetar. Terasa perasaan yang berlainan. Adakah itu cinta, mungkin ya. Jadi, adakah ia salah?
Betul atau salah bergantung kepada apa yang kita lakukan selepas
itu. Jika kita memilih mendekati kepada jalan yang salah, kita menghampiri
kepada cinta yang salah. Dan bermulalah proses penghasilan lubuk-lubuk dosa
kita. Lubuk dosa yang penuh dengan angan-angan, lubuk dosa yang penuh dengan
tangisan merajuk, lubuk dosa yang penuh pembaziran wang ringgit dan waktu,
lubuk dosa yang penuh dengan syakwasangka kepada si dia yang mungkin curang,
lubuk dosa dengan pergaduhan, lubuk dosa dengan ungkapan sayang yang bersifat
luaran, lubuk dosa dengan berbangga dengan gambar-gambar berdua-duaan, yang
mendekatkan diri kepada zina mata, zina hati. Dan terlebih bimbang jika
pengakhirannya akan membawa penyesalan kepada diri- sendiri.
Tapi jika kita memilih menyalurkannya kepada jalan yang betul, ini
akan menjadi sebuah cinta yang halal, cinta yang mampu menjadi lubuk pahala
bagi kita. Lubuk pahala yang mampu memberikan ganjaran berlipat-lipat ganda.
Jika sudah bersedia, pilihlah untuk berkahwin. Tetapi bukan dengan
cara bercinta sebelum berkahwin dengan lelaki yang tidak halal bagi kita. Ada
cara-cara tertentu, antaranya melalui orang tengah yang kita thiqah padanya,
atau ibubapa. Kita terjaga, maruah kita terjaga, dan keberkatanNya ada. Kita
ingin membina sebuah rumahtangga yang barakah, bercinta hingga ke syurga. Macam
mana nak bercinta hingga ke syurga apabila sebuah rumah tangga dimulai dengan
perkara-perkara yang tidak diredhai Allah?
Cinta fitrah ini yang berakhir dengan sebuah perjanjian kuat yang
indah, menjadi sebuah pelengkap agama. Dan seterusnya, lubuk pahala ini akan
terus terisi dengan menjadikan diri sebagai seorang isteri solehah yang terbaik
buat si dia yang halal, pemilik cinta kita selepas Allah dan RasulNya.
Bagi yang sedang bercinta
dengan seorang lelaki yang belum halal bagimu, jika belum bersedia untuk
berkahwin dalam masa yang terdekat, kuatkanlah diri, pilihlah untuk mengakhiri
percintaan yang salah. Takut? Percayalah, Allah akan beri kekuatan. Jika benar
si dia yang masih belum halal adalah untukmu, Allah akan hadirkan dia kembali
buat dirimu. Janji yang Allah tak pernah mungkiri bahawa setiap makhluknya
diciptakan berpasang-pasangan. Dan pasti ada pasangan yang tertulis namanya di
Lauh Mahfuz untukmu. Dan bila kita meninggalkan sesuatu kerana Allah, Allah
akan gantikan dengan sesuatu yang pasti lebih baik untuk kita. Kita mesti
benar-benar percaya kerana Allah adalah pemilik cinta kita yang utama, yang
takkan sesekali menipu hambaNya. Keyakinan dan keimanan ini adalah bukti cinta
kita kepada pemilik cinta kita yang pertama iaitu Allah.
Cinta ini adalah lubuk pahala. Jika belum
bersedia, atau belum mampu, atau belum tiba masanya, tetapi perasaan fitrah itu
sudah ada, inilah yang akan menjadi lubuk pahala bagi kita. Bermujahadahlah.
Tambahlah istighfar kepadaNya, berpuasalah untuk menjaga sebuah fitrah yang
indah ini, dan teruslah berdoa. "Prayer is the best armor against all trials".
Dan dalam masa menanti seorang yang soleh hadir, kita bukan hanya
perlu mencari, tetapi perlulah menjadi. Berusaha menjadi seorang wanita yang
solehah, dan cuba memperbaiki kekurangan diri semampu yang mungkin.